X

Kindly register in order to view this article
!

Ancaman babi hutan di Terengganu membimbangkan

Babi hutan yang muncul berhampiran kediaman penduduk di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU – Penduduk di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus resah dengan peningkatan kemunculan babi hutan di kawasan kediaman mereka sejak empat tahun lalu.

Masalah berkenaan diluahkan seorang penduduk Kampung Banggol, Manir, Khairul Shamshu Awang, 50, menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Beliau berkata, babi hutan semakin berani memasuki kawasan perkampungan dan pinggir bandar bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk, malah dikhuatiri turut mengancam keselamatan mereka.

“Berdasarkan ratusan komen yang saya terima daripada status yang dimuat naik di Facebook saya, kebanyakan mereka meluahkan rasa tidak selesa dengan kehadiran babi hutan yang dilihat semakin tidak terkawal sejak kebelakangan ini.

Antara reaksi diterima berkaitan masalah gangguan babi hutan yang membelenggu penduduk di negeri ini.
Antara reaksi diterima berkaitan masalah gangguan babi hutan yang membelenggu penduduk di negeri ini.

“Selain mencari makanan di kawasan rumah, babi hutan juga akan menyelongkar tempat pembuangan sampah untuk mencari sisa-sisa makanan yang dibuang.

"Haiwan ini juga sering muncul secara tiba-tiba di atas jalan sekali gus membahayakan penduduk yang lalu lintas di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, antara kawasan sering kedengaran aduan berkaitan kes babi hutan ialah Kuala Ibai, Manir, Batu Rakit, Batu Hampar dan Gong Badak.

"Saya percaya terdapat banyak lagi gangguan babi hutan di kawasan lain kerana ia dilihat semakin berani ‘mengunjungi’ kediaman penduduk sejak kebelakangan ini,” katanya.

Khairul Shamshu berkata, beliau sendiri pernah kemalangan mengakibatkan kerugian RM700 selepas motosikal ditunggangnya terbabas kerana ingin mengelak babi hutan yang melintas jalan secara tiba-tiba.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 6.30 pagi ketika beliau ingin ke surau untuk menunaikan solat Subuh awal Januari lalu.

“Kebanyakan babi hutan akan keluar dari hutan antara jam 6.30 hingga 6.45 pagi. Kita khuatir jika jumlahnya tidak dikawal ia akan mengancam nyawa terutama kanak-kanak yang menaiki basikal untuk ke sekolah pada awal pagi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia memohon supaya pihak berkuasa khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif membendung perkara itu.

“Pihak PERHILITAN perlu membuka semula lesen menembak babi hutan yang dibekukan sebelum ini kerana jumlahnya semakin meningkat dan mengancam orang awam.

“Kita juga mohon supaya diadakan operasi untuk menembak babi hutan secara besar-besaran dengan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu itu berdasarkan aduan yang diterima mengenai gangguan babi hutan.

Beliau berkata, lesen untuk menembak babi hutan kepada orang perseorangan akan dikeluarkan semula bagi tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun ini.

Katanya, sebelum ini, lesen menembak babi hutan tidak dikeluarkan bermula Januari hingga Jun 2020 bagi memelihara rantaian makanan dan memberi tempoh untuk haiwan itu membiak kerana ia menjadi sumber makanan harimau.

“Jika seseorang itu memiliki lesen yang telah diperbaharui, dia boleh merujuk kepada pihak PERHILITAN untuk mendapatkan kelulusan bagi menembak babi hutan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!