Usul tukar Speaker lulus: Ahli Parlimen Pasir Mas ucap tahniah

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, dengan mendapat 111 sokongan berbanding 109 yang menentang, ia merupakan satu simbolik bahawa Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk meneruskan pentadbiran.

Menurutnya, tiada lagi istilah kerajaan pintu belakang dan tidak perlu lagi mempertikaikan keabsahan kerajaan ini.

"Paling penting, terima kasih Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof (bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat) yang bertindak cukup profesional dalam memberikan laluan kepada usul ini.

"Bahkan beliau memberikan ruang kepada Timbalan Speaker untuk mengendalikan usul, memandangkan beliau menjadi pihak yang berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri diluluskan apabila mendapat 111 undian dan Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan ke jam 2.30 petang bagi meneruskan usul pencalonan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua baharu.

Ahmad Fadhli berkata, sikap profesional Mohamad Arif wajar dicontohi dan individu sebegini boleh diberikan kepercayaan untuk memikul amanah penting yang lain.

Sebelum ini, Azhar yang merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dicalonkan dalam usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

Artikel Berkaitan:

Malah Azizan disahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi SPR berkuatkuasa pada 29 Jun lalu dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.