Azhar Speaker, Azalina Timbalan Speaker baharu

Azhar Azizan, Azalina - Foto Bernama
Azhar Azizan, Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Azhar Azizan@Harun mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Nama beliau dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat kosong apabila usul dikemukakan Muhyiddin bagi tujuan tersebut berjaya mendapat sokongan 111 undian bersetuju manakala 109 undi menolak dan seorang anggota Parlimen tidak hadir.

"Saya mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT di atas limpah kurnia-Nya, saya diberikan pengiktirafan yang tinggi seperti ini.

"Pelantikan ini satu penghormatan yang tinggi namun saya sedar ia juga satu amanah negara kepada saya.

"Seperti mana ikrar yang saya bacakan tadi, saya akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tugas dan memenuhi amanah tersebut," kata beliau dalam ucapan ringkas pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, Nga Kor Ming yang memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah meletak jawatan serta-merta sebelum usul mengosongkan jawatan tersebut dikemukakan sekali lagi oleh Muhyiddin.

Susulan peletakan jawatan itu, Muhyiddin membatalkan usul terbabit dan meneruskan dengan usul mencadangkan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Artikel Berkaitan:

“Oleh kerana hanya ada seorang sahaja ahli yang telah dicadangkan dan disokong untuk memenuhi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat maka mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 6 (2) dibaca bersama peruntukan Peraturan Mesyuarat 4 (3).

“Saya dengan ini memasyhurkan Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” kata beliau.