Banjir kilat landa Seremban, Port Dickson

Kampung Sega Rantau ditengelami air akibat hujan lebat awal pagi tadi.
Kampung Sega Rantau ditengelami air akibat hujan lebat awal pagi tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Hujan lebat berterusan sejak jam 4 pagi tadi menyebabkan lebih 200 rumah di beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Port Dickson dinaiki air sehingga paras lebih 1.3 meter.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Bemban, Sendayan, Kampung Sega Rantau, Kampung Janging, Kampung Jimah Lama dan Lukut, Port Dickson dengan melibatkan sekurang-kurangnya seramai 310 mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Hamdan Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.10 pagi, memaklumkan beberapa rumah dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Bemban, Mambau.

"Di Kampung Bemban sahaja terdapat 17 rumah terjejas, manakala bagi keseluruhan rumah yang membabitkan Taman Iringan Bayu, Sendayan, adalah sebanyak 98 rumah setakat ini. Seramai lima mangsa iaitu sepasang warga emas, seorang orang kurang upaya (OKU) dan sepasang suami isteri diselamatkan dan dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Bemban. Kerja-kerja menyelamat sudah dilakukan dan sehingga kini pihaknya masih lagi memantau serta mengawal kawasan terlibat bagi memastikan semuanya selamat.

"Seramai 18 anggota termasuk seorang pegawai di lokasi kejadian bagi memberi bantuan," katanya.

Pasukan bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sega Rantau.
Pasukan bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sega Rantau.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Kuala Sawah, Sarjan Major Abdul Aziz Maulud memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9 pagi, memaklumkan kawasan di Kampung Sega Lorong 1 dinaiki air.

Katanya, sebaik sahaja sampai ke lokasi, pihak bomba dan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa di kampung tersebut menggunakan tali.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak lima rumah membabitkan 17 isi rumah di Kampung Sega Rantau ditenggelami air separas pinggang, berjaya diselamatkan. Kebanyakan mereka semua kini berada di rumah saudara mara sementara menanti air surut.

"Bagaimanapun, kita telah menyediakan sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan Sega Hilir, untuk menempatkan semua mangsa jika hujan masih berterusan dan air tidak surut," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa banjir, Nur Zakariah Abd Rahim, 22, berkata, dia dan ahli keluarganya panik selepas rumah mereka ditenggelami air akibat banjir kilat.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, semasa dia bersama enam ahli keluarga yang lain sedang tidur, dan hanya sedar selepas air memasuki bahagian dapur.

"Saya sedar waktu itu air dah masuk sampai ke dapur, ingat tak masuk sehingga ruang tamu, lima minit kemudian hampir seluruh rumah ditenggelami air.

"Kejadian sangat pantas, banyak barang penting tidak sempat diambil. Sedih juga sebab banyak barang tak dapat diselamatkan," katanya.