Ketua unit agensi kerajaan direman

SPRM
A
A

GEORGE TOWN - Seorang ketua unit sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu berjumlah lebih RM9,000.

Lelaki berumur 39 tahun itu yang mengetuai unit pentadbiran dan kewangan agensi berkenaan ditahan selepas memberi keterangannya di pejabat SPRM Seberang Perai kira-kira pukul 2 petang semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Azam Md Eusoff membenarkan permohonan itu yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Ravinderjit Singh yang memaklumkan mahkamah itu bahawa suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Ravinderjit berkata, suspek disyaki telah mengemukakan tiga tuntutan bagi kerja-kerja pencetakan dan pembekalan peralatan pejabat bernilai lebih RM9,000 walaupun kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Katanya, perintah reman itu dipohon memandangkan SPRM memerlukan masa untuk menyelesaikan siasatan mereka.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia