Rundingan dengan Messi positif: Bartomeu

 Lionel Messi
Lionel Messi
A
A
A

PRESIDEN Barcelona, Jose Maria Bartomeu menafikan khabar angin Lionel Messi akan meninggalkan Nou Camp dan berpindah ke kelab lain selepas kontraknya tamat tahun depan.

Menurutnya, beliau yakin pemain kelahiran Argentina itu akan kekal di kelab Catalan tersebut dan sedang berbincang kontrak baharu yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Kami telah bercakap dengannya dan akan terus berunding. Setakat ini segalanya kelihatan sangat positif buat Barcelona.

"Messi juga memaklumkan bahawa dia mahu menghabiskan kariernya di sini dan kami sangat gembira dengan kenyataan tersebut. Saya tidak ragu-ragu bahawa dia akan teus kekal di sini," katanya.

Masa depan Messi di Barcelona sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas menghentikan perbincangan kontrak baharu sekali gus dikaitkan berpindah ke pasukan lain musim depan.

Pemain berusia 33 tahun itu dikatakan tidak gembira dengan pengurusan tertinggi kelab termasuk pengendali pasukan itu, Quique Setien yang gagal mengemudi pasukan dengan baik.

Sementara itu, bekas pemain tengah Barcelona dan Liverpool, Luis Garcia percaya Messi mampu terus bermain pada tahap tertinggi sehingga 2025 dan memecahkan beberapa rekod lagi bersama Barcelona.

"Mengapa tidak? Cara dia bermain dan menjaringkan gol tidak pernah pudar. Setiap tahun dia akan menunjukkan peningkatan dari segi gol dan bantuan gol.

Artikel Berkaitan:

"Dia berjaya beradaptasi dengan baik setiap tahun dan tidak nampak dia akan berhenti menunjukkan kualiti cemerlang," katanya.

Messi mengharungi musim yang baik bersama Barcelona itu apabila menjadi pemain pertama dalam saingan La Liga menjaringkan lebih 20 gol dan melakukan 20 bantuan gol dalam satu musim.