Kor Ming letak jawatan Timbalan Speaker serta-merta

Kor Ming (kiri) menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Kor Ming (kiri) menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Nga Kor Ming hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebagai solidari kepada bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang terpaksa melepaskan jawatannya.

"Pagi ini kita menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, Speaker yang berwibawa telah pun dilucutkan (jawatan) tanpa sebarang sebab.

"Oleh kerana itu, dengan bersolidariti penuh bersama dengan Tan Sri Ariff dan juga menyatakan prinsip, saya hanya akan berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Maka dengan ini saya mengumumkan, saya meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan serta-merta," katanya pada sidang akhbar di bilik media Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikemukakan Perdana Menteri pada sidang Parlimen hari ini berjaya apabila mendapat 111 undian yang bersetuju.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, seramai 109 anggota Parlimen mengundi tidak bersetuju manakala seorang anggota Parlimen tidak hadir.

Proses pengundian dilakukan secara belah bahagian selepas hampir 12 minit usul tersebut dibahaskan anggota Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) mencadangkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan terbabit atas alasan terdapat pencalonan lain.

Persidangan ditangguhkan ke jam 2.30 petang bagi meneruskan usul pencalonan Datuk Azhar Azizan@Harun sebagai Yang Dipertua yang baharu.