Sasar tambahan RM3 bilion eksport sarang burung walit

Norlizan (empat dari kiri) mendengar penerangan pihak pengurusan Loji Pemprosesan Sarang Burung Walit Belum Bersih di Melaka Raya, Banda Hilir hari ini.
Norlizan (empat dari kiri) mendengar penerangan pihak pengurusan Loji Pemprosesan Sarang Burung Walit Belum Bersih di Melaka Raya, Banda Hilir hari ini.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyasarkan peningkatan jumlah eksport sarang burung walit bernilai RM3 bilion menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, sasaran itu meliputi sarang burung walit bersih, sarang burung walit belum bersih selain nilai tambah bahan produk berasaskan sarang burung tersebut.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu Malaysia merekodkan nilai eskport sarang burung walit sebanyak RM1.154 bilion bersamaan 5,654 metrik tan sekali gus sebagai negara kedua terbesar dalam industri pengeluran sarang burung walit.

Kata beliau, angka itu juga menjadikan industri itu antara penyumbang terbesar kepada hasil negara dalam industri penternakan.

"Daripada hasil sarang burung walit, kerajaan sentiasa komited menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk membantu semua pihak yang terlibat dalam industri ini.

"Ini termasuk pengeksportan sarang burung walit bersih dan sarang burung walit belum bersih," kata beliau.

Norlizan berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Loji Pemprosesan Sarang Burung Walit Belum Bersih di Melaka Raya, Banda Hilir di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut merasmikan Pelancaran Konsainan Terbesar Sarang Burung Walit Belum Bersih ke China sebanyak 1,010 kilogram.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setakat ini Malaysia mempunyai 34 syarikat pengeluar sarang burung walit bersih dan satu syarikat pengeluar sarang burung walit belum bersih ke negara China.