787 rakyat Malaysia jalani kuarantin wajib

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 787 daripada 793 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong semalam diperintah jalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selebihnya enam individu dibawa ke hospital.

"Seramai 139 individu telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melakukan 1,178 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemuanya mematuhi arahan ditetapkan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Jelasnya, bagi tempoh 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan membuat saringan terhadap 17,152 individu di pintu masuk KLIA.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 17,080 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 72 individu lagi didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan katanya, PDRM telah menahan 37 individu atas kesalahan ingkar arahan dan daripada jumlah itu, lima direman manakala selebihnya dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan tersebut termasuk aktiviti dalam kelab malam (seorang individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (20 individu).

Artikel Berkaitan:

Mengenai tapak binaan, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di sembilan tapak binaan di seluruh negara melibatkan 15 penguat kuasa, mendapati kesemuanya mematuhi SOP ditetapkan. - Bernama