Covid-19: Sepang, Petaling masih zon kuning

Daerah Sepang dan Petaling masih ditakrif sebagai zon kuning kes aktif wabak Covid-19 di Selangor.
Daerah Sepang dan Petaling masih ditakrif sebagai zon kuning kes aktif wabak Covid-19 di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Sepang dan Petaling masih ditakrif sebagai zon kuning kes aktif wabak koronavirus (Covid-19) di Selangor.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, Sepang merekod 11 kes aktif manakala Petaling dua kes.

Menurut kenyataan itu, sebanyak sembilan kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari semalam dengan lapan kes melibatkan bukan warganegara bagi jangkitan tempatan dan satu kes import dari Jerman.

“Hari ini demografi zon kes aktif kekal seperti semalam (kelmarin). Jumlah kes aktif pula telah meningkat ke dwi digit setelah lapan hari berdigit tunggal.

“STFC mengesyorkan warga Selangor untuk terus berdisiplin, mengamalkan norma baharu serta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Sekiranya tidak berhati-hati, naratif positif ini tidak mampu bertahan lama dan kemungkinan terpaksa kembali seperti mana pada mula-mula jangkitan merebak,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, daerah Hulu Selangor dilapor menjadi daerah ketujuh di Selangor yang menjadi zon hijau selepas Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat dan Gombak.

Setakat semalam, Selangor mencatat 2,088 kes Covid-19, seramai 1,884 pesakit dilapor telah sembuh manakala 13 kes masih aktif.

Mukim Labu di daerah Sepang mencatat kes aktif tertinggi iaitu 10 kes.

Artikel Berkaitan: