X

Kindly register in order to view this article
!

MBM sokong pinda Akta DBP perkasa penggunaan bahasa Melayu

A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, tujuan pindaan akta tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang.

"Setelah hampir 64 tahun merdeka, malangnya umum melihat bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

"DBP sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jufitri, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

"Bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

"Justeru, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995)," katanya.

Pada masa sama katanya, pelantikan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dilihat satu langkah yang tepat, sementara MBM juga merupakan antara anggota jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan bagi mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan status negara maju. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus