X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Johor tumpas sindiket Macau Scam

Ayob Khan menunjukkan gambar dua suspek terlibat dengan Macau Scam yang diburu polis pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU- Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam yang menggunakan aplikasi 'Got Further' dengan tertangkapnya 12 suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Mount Austin, di sini pada 7 Julai lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang menganggotai kumpulan Ho & Micheal berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, daripada 12 yang ditahan itu, 10 suspek bertindak sebagai operator telefon menyamar sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Imigresen, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, mahkamah dan Pos Malaysia manakala dua lagi suspek merupakan penyelia dan pakar teknikal komunikasi.

Menurut Ayob Khan, mangsa akan dihubungi secara rawak dengan rakaman panggilan suara daripada agensi penguat kuasa menggunakan sistem 'Got Further' yang canggih.

"Mangsa diminta untuk menekan nombor pada telefon untuk bercakap dengan pegawai agensi penguat kuasa atau pusat khidmat pelanggan.

"Seterusnya mangsa akan disambungkan kepada operator pusat panggilan yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa yang memaklumkan mangsa telah melakukan kesalahan menyalahi undang-undang," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Gambar dari kiri: Cham Tian Tier, Ho Kim Long
Gambar dari kiri: Cham Tian Tier, Ho Kim Long

Tambah Ayob Khan, sindiket ini juga menggunakan sistem pangkalan data haram yang dapat menyemak maklumat mangsa seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat rumah mangsa.

"Ini adalah kali pertama polis Johor dapat membongkar sindiket pusat panggilan yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa. Pendedahan maklumat mengenai sistem komunikasi dan aliran operasi sindiket ini dapat membantu dalam menangani kes-kes modus operandi yang sama.

"Polis berjaya mengenal pasti sebanyak 12 kes yang melibatkan sindiket ini dengan kerugian sebanyak RM595,299. Polis percaya berkemungkinan besar terdapat banyak lagi pusat panggilan yang beroperasi di negara ini," kata beliau.

Ayob Khan berkata, selain di Malaysia, kegiatan sindiket ini juga tertumpu di beberapa buah negara seperti Cambodia, Thailand, Australia, Jepun dan Vietnam.

Katanya, gaji operator yang terlibat di dalam sindiket ini antara RM3,000 sehingga RM5,000 berserta komisyen tiga peratus dan tujuh peratus daripada hasil penipuan.

"Sindiket ini diketuai oleh seorang lelaki warga tempatan dan dibantu seorang rakan kongsi yang masih bebas.

"Polis dalam usaha mengesan kedua suspek ini bagi melengkapkan siasatan. Suspek ini ialah Ho Kim Long, 31, dan Cham Tian Cher, 36. Berdasarkan maklumat kedua-dua suspek ini ada kaitan dengan geng kongsi gelap dikenali Geng Lima Warna," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus