X

Kindly register in order to view this article
!

1.16 juta penduduk Negeri Sembilan dibanci

Sebanyak 387,000 tempat kediaman dengan kira-kira 1.16 juta penduduk di negeri ini akan terlibat dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci 2020).
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 387,000 tempat kediaman dengan kira-kira 1.16 juta penduduk di negeri ini akan terlibat dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci 2020).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, Banci 2020 itu akan dijalankan dalam dua fasa berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Beliau berkata, fasa pertama pembancian bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini melibatkan mod pembancian pengisian soal selidik secara dalam talian iaitu e-Census.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sembilan telah menghantar poskad MyCensus 2020 kepada lebih 69,000 tempat kediaman yang telah dikenalpasti.

"Poskad ini mengandungi nombor ID bagi membolehkan isi rumah mendaftar ke dalam Sistem e-Census.

"Bagi isi rumah yang tidak menerima poskad, mereka boleh membuat pra pendaftaran secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat ID bagi mengakses Sistem e-Census.

"Maklumat asas seperti nama, e-mel, dan alamat lengkap diperlukan semasa membuat pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pembancian fasa kedua secara bersemuka akan dilaksanakan pada 7 hingga 24 Oktober ini.

"Sebagai langkah pencegahan, kaedah temu ramah secara bersemuka dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Beliau berkata, maklumat yang dikumpul melalui Banci 2020 adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Banci 1960 (Disemak 1969) yang mana kandungan soal selidik yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada mana- mana pihak.

"Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap rakyat dan lapisan masyarakat kerana boleh digunakan oleh pihak kerajaan untuk membuat perancangan dan polisi yang berpaksikan rakyat," katanya.

Oleh demikian Razali berkata, kerjasama sepenuhnya daripada penduduk Negeri Sembilan amat diperlukan dalam pelaksanaan Banci 2020 ini.

"Data tentang kependudukan dan perumahan hasil daripada maklumat Banci 2020 akan menjadi input utama kepada agenda nasional dalam merancang pembangunan negeri mahupun negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan terdapat 3,930 jawatan kosong pembanci di Negeri Sembilan.

"Pengambilan penyelia dan pembanci hanya akan bermula pada September dan Oktober ini.

"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!