Maqis rampas herba campuran, kayu sarang semut

Herba campuran yang cuba dibawa masuk dari Vietnam dirampas di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam.
Herba campuran yang cuba dibawa masuk dari Vietnam dirampas di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas herba campuran dan kayu pokok sarang semut di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam di sini Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas satu bungkusan yang mengandungi pelbagai jenis herba campuran dari Vietnam dialamatkan kepada seorang warganegara tempatan.

"Pelbagai herba campuran itu dipercayai dibeli secara dalam talian oleh warganegara terbabit bagi tujuan perubatan tradisional.

"Herba campuran tersebut dianggarkan bernilai RM1,540 dengan berat 15.24 kilogram (kg)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Herba campuran yang dirampas di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam Jumaat lalu.
Herba campuran yang dirampas di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam Jumaat lalu.

Beliau berkata, selain itu, turut dirampas dua kotak bungkusan mengandungi kayu pokok sarang semut yang diimport dari Indonesia oleh warganegara tempatan dianggarkan seberat 54.7kg dan bernilai RM4,500.

"Perbuatan mengimport tanpa permit import yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zarina berkata, Maqis sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini.