Singapura, Malaysia setuju tangani Covid-19

Singapura dan Malaysia bersetuju supaya kerajaan masing-masing wajar meneruskan kerjasama dalam usaha menangani cabaran bersama yang dihadapi daripada pandemik Covid-19. Foto: 123RF
Singapura dan Malaysia bersetuju supaya kerajaan masing-masing wajar meneruskan kerjasama dalam usaha menangani cabaran bersama yang dihadapi daripada pandemik Covid-19. Foto: 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Singapura dan Malaysia bersetuju supaya kerajaan masing-masing wajar meneruskan kerjasama dalam usaha menangani cabaran bersama yang dihadapi daripada pandemik Covid-19.

Persetujuan itu dicapai oleh perdana menteri masing-masing, Lee Hsien Loong dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negara (MFA) republik itu pada awal Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbualan pada Ahad antara Lee dengan Muhyiddin yang menghubungi pemimpin Singapura itu menerusi telefon untuk mengucapkan tahniah kepada beliau atas kejayaan parti pimpinannya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya umum.

Pada pilihan raya umum 10 Julai, PAP dipimpin Hsien Loong, selaku setiausaha agung parti itu, kekal berkuasa selepas memenangi 83 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut kenyataan itu, Hsien Loong dan Muhyiddin turut berbincang mengenai hubungan kukuh dan positif antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua pemimpin menyambut baik kemajuan dicapai kedua-dua pihak dalam pelbagai inisiatif dua hala, termasuk projek kesalinghubungan rentas sempadan dan pergerakan rakyat," katanya.

Muhyiddin, dalam catatan di laman Facebook beliau pada Ahad, menyentuh tentang panggilan telefon kepada Hsien Loong dan berkata, antara lain, beliau yakin hubungan dua hala sedia ada akan terus bertambah kukuh di bawah kepimpinan Hsien Loong.

Beliau berkata mereka menzahirkan komitmen masing-masing untuk mengadakan pertemuan selepas situasi Covid-19 di kedua-dua negara telah reda untuk membincangkan pelbagai isu dengan lebih lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: