Media ikuti SOP ketat buat liputan sidang Parlimen

Suasana ruang kerja pengamal media yang membuat liputan hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama
Suasana ruang kerja pengamal media yang membuat liputan hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak hanya menyaksikan Ahli Parlimen bersidang dalam kebiasaan baharu, tetapi juga kira-kira 150 pengamal media yang membuat liputan persidangan melalui normal baharu liputan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam usaha kerajaan menangani penularan Covid-19.

Selain wartawan hanya dibenarkan berada di Pusat Media, kubikal dan meja yang disusun untuk media membuat tugasan ditanda pangkah bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Barisan kubikal petugas media yang biasanya boleh memuatkan lima orang, kini hanya tiga orang sahaja yang boleh mendudukinya pada satu-satu masa.

Bagi menampung bilangan petugas media, satu ruangan khas tambahan di ruang kosong sebelum ini disediakan untuk mereka.

Petugas media termasuk wartawan, jurufoto dan juruvideo dari pelbagai agensi media tempatan dan antarabangsa yang hadir membuat liputan diwajibkan mengimbas kod aplikasi MySejahtera di pintu masuk, memakai pelitup separuh muka, memakai pensanitasi tangan dan memastikan jarak satu meter.

Selain itu, ruang untuk Ahli Parlimen dan menteri membuat sidang media disediakan di pusat media dengan jarak kerusi disusun antara satu sama lain dengan jarak satu meter.

Petugas media yang membuat liputan hari ini turut diberikan taklimat oleh pegawai bertugas di Parlimen sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata petugas media yang membuat liputan mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, satu surat makluman turut dikeluarkan Parlimen kepada agensi media, menjelaskan mengenai syarat dan SOP yang mesti dipatuhi petugas media semasa membuat liputan persidangan kali ini.

Antaranya ialah bagi setiap satu agensi hanya seorang wartawan, seorang jurufoto atau juruvideo dibenarkan membuat liputan. Hanya mereka yang tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk membuat liputan.

Petugas media juga tidak dibenarkan berlegar-legar di lobi dan tidak dibenarkan sama sekali membuat temu bual secara doorstep atau jolok.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam pemasyhurannya membentangkan prosedur operasi standard (SOP) fasa pemulihan persidangan Parlimen bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari, sehingga 27 Ogos. - Bernama