Pesara TNB didakwa menipu RM65,000

Tertuduh (kir) dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth.
Tertuduh (kir) dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu sebuah syarikat empat tahun lalu.

Tertuduh, Ammeran Abu, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan melibatkan jumlah keseluruhan RM65,000 dan minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di tapak parkir Wisma TNB Bandar Perda, Bukit Mertajam pada jam 11 pagi, di antara Mei hingga Jun 2016.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya Ang Peng Tiong untuk membantu mengurangkan jumlah bayaran tuntutan bagi amaun kerugian hasil dan perbelanjaan serta caj berkaitan termasuk enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akibat mengubahpinda atau merosakkan pemasangan meter TNB yang dikenakan terhadap syarikat Osmo Packaging Sdn Bhd supaya tidak melebihi RM100,000.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mendorong Peng Tiong menyerahkan wang tunai RM10,000 pada 24 Mei 2016.

Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah mendorong Peng Tiong menyerahkan wang tunai RM20,000 pada 1 Jun 2016, manakala pertuduhan ketiga melibatkan wang tunai RM35,000 pada 8 Jun 2016.

Untuk kesemua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun tertuduh ditawarkan tiga pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan itu yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azlan Basri dan S Selvaranjini di hadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Dalam pendakwaannya, Mohamad Azlan memohon wang jaminan RM20,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang prosiding kes.

Sementara itu, peguam tertuduh, Hari Prassaad Rao memohon wang jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya merupakan pesara dan mempunyai lima anak termasuk dua masih bersekolah.

Tertuduh yang berasal dari Kuala Kedah itu juga menanggung isteri yang tidak bekerja selain menerima pencen RM300 sebulan.

Ahmad Azhari bagaimanapun menetapkan wang jaminan RM10,000 dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditangguhkan pada 26 Ogos depan untuk sebutan semula.