Kerajaan tidak boleh tunggu untuk bantu rakyat: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil tindakan segera dengan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19) tanpa membentangkannya di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana rakyat perlu dibantu segera dalam tempoh sukar tersebut.

"Kerajaan tiada pilihan, malah saya sendiri berpendapat tindakan segera mesti diambil walaupun sebelum sesi Parlimen bermula.

"Tuan Yang Dipertua kena tahu ramai rakyat menunggu, kita tidak boleh tunggu sesi Parlimen ini. Dia (rakyat) hendak sekarang, bantuan disampaikan sekarang, mereka hadapi kesukaran sekarang, institusi dah runtuh sekarang kebanyakan perniagaan tidak boleh dilaksanakan.

"Jadi, walaupun begitu saya faham tugas ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab (persoal tindakan kerajaan) tetapi tugas kerajaan adalah menentukan rakyat mesti dibela," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson) yang mahukan penjelasan berhubung tindakan kerajaan tidak membentangkan terlebih dahulu pakej rangsangan ekonomi itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberi jaminan perkara itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Insya- ALLAH Menteri Kewangan saya akan bentang dalam tempoh sesi ini juga, segala perkara yang terperinci ada berpuluh inisiatif terpaksa dilaksanakan juga akan diumumkan," katanya.

Artikel Berkaitan: