Kerajaan diminta kaji semula cukai dalam EDA

Taman Tema Escape menyediakan aktiviti riadah keluarga yang sihat. Gambar kecil: Sim Choo Kheng
Taman Tema Escape menyediakan aktiviti riadah keluarga yang sihat. Gambar kecil: Sim Choo Kheng
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan diminta mengkaji semula cukai yang terkandung dalam Akta Duti Hiburan 1953 (EDA) untuk taman tema bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape (ESCAPE) Pulau Pinang, Sim Choo Kheng berkata, sebagai pengasas taman tema, kerajaan dicadangkan supaya mengecualikan cukai hiburan sebanyak 25 peratus kerana dilihat tidak relevan dan ketinggalan zaman.

Menurutnya, cukai yang dikenakan ke atas bayaran masuk itu juga tidak mesra perniagaan khususnya kepada pengendali taman tema di negara ini.

"Pengecualian cukai ini adalah satu keperluan yang perlu diteliti kerajaan kerana cukai yang termaktub dalam Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103) tidak lagi relevan dengan operasi semua taman tema di Malaysia. ESCAPE diklasifikasikan dalam kategori hiburan tetapi bukan termasuk dalam kategori operasi KTV, sukan pertaruhan atau kasino.

"Secara peribadi percaya bahawa akta yang diperkenalkan ini dibuat untuk kategori hiburan 'dosa' seperti pertunjukan kabaret dan perjudian. Bagaimanapun, taman tema pada zaman ini tidak dikategorikan dalam hiburan tersebut, yang mana ia menyediakan aktiviti riadah keluarga yang sihat," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun akta tersebut diwartakan oleh kerajaan Pusat, cukai dikenakan akan mengikut kadar yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Setiap negeri tidak sama dan ini akan mengelirukan pengusaha taman tema. Taman tema memainkan peranan sebagai pemangkin penting dalam memperkasakan ekonomi. Ini dapat dilihat di Dubai, Orlando Billund (Denmark), Sentosa (Singapura) dan Hong Kong yang mana taman tema telah mencipta kejayaan ekonomi yang besar untuk menyokong perniagaan tempatan.

"Kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia melihat manfaat taman tema dalam mempromosikan pelancongan dan memberi rangsangan kewangan untuk pembangunan mereka melalui insentif dan pengecualian cukai. Tetapi dengan mengenakan EDA pada bayaran masuk, ia bertentangan dengan niat untuk mempromosikan selain tidak menggalakkan pertumbuhan industri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Choo Kheng berkata, tidak seperti kebanyakan taman tema di seluruh Asia, ESCAPE adalah pembangunan hartanah yang didirikan sendiri tanpa bentuk 'subsidi silang'.

"Saya melihat pelaksanaan EDA sebagai risiko dalam mendorong pelaburan ke arah meningkatkan perniagaan kerana taman tema adalah satu-satunya sumber pendapatan saya sebagai pengusaha taman tema. Inilah masanya kerajaan perlu menyokong kami untuk terus berkembang dan bukannya menghalang dengan mengenakan cukai yang dilihat sudah tidak relevan lagi.

"Oleh itu, saya merayu kerajaan mengkategorikan semula taman tema secara berasingan di bawah EDA. Selain itu, saya mohon supaya levi tetap diwujudkan dan tidak mengikut budi bicara yang lebih rendah selain menghapuskan cukai untuk taman tema.

"Banyak yang telah berubah sejak 1953. Istilah hiburan pada hari ini lebih beretika dan menyenangkan. Saya mengharapkan perubahan positif terhadap industri taman tema di Malaysia," katanya.