Bayi 33 hari jalani pembedahan injap jantung

Norrashid menemani anak kecilnya yang baru berusia 33 hari menjalani rawatan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Norrashid menemani anak kecilnya yang baru berusia 33 hari menjalani rawatan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Injap jantung kanan tidak berfungsi menyebabkan seorang bayi perempuan, Nur Aireeana Zahrah Norrasid yang baru berusia 33 hari terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini.

Bapanya, Norrasid Ayub, 46, berkata, penyakit anaknya itu dikesan enam jam selepas dilahirkan apabila bayi itu kebiruan.

Menurutnya, bayinya yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat itu kini dirujuk ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.

"Empat hari lepas Nur Aireeana buat pembedahan pertama selepas kaedah memasukkan tiub ke jantung tidak berjaya.

"Awalnya pembedahan itu berjalan lancar cuma kelmarin doktor maklumkan yang keadaan paru-paru dia belum stabil dan masih ditahan di wad ICU kanak-kanak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, dia masih menunggu perkembangan kondisi anaknya sama ada perlu menjalani pembedahan susulan atau dibenarkan pulang selepas ini.

"Dalam masa terdekat, saya tak pasti sama ada anak saya memerlukan apa-apa mesin atau alat sokongan pernafasan kerana masih menunggu hasil pembedahan pertama.

"Cuma doktor maklumkan anak saya perlu menjalani sekurang-kurangnya dua lagi pembedahan iaitu selepas usianya 8 bulan dan 7 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norrasid yang bekerja sendiri memaklumkan, sehingga kini dia dan isterinya, Julia Shahdan, 39, yang masih berpantang bergilir-gilir menguruskan bayinya itu sepanjang menerima rawatan.

"Mengikut kata doktor, untuk melihat anak saya sihat seperti anak normal lain adalah rendah dan akan mengalami kesan sampingan semasa pembesarannya.

"Cuma sebagai ibu bapa, saya mahukan yang terbaik buat anak saya, panjang umur dan sihat serta dapat meneruskan kehidupan di samping keluarga," katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatan anaknya itu memerlukan dia perlu sentiasa bersedia dari segi kewangan.

"Apabila masuk sahaja hospital sudah dikenakan caj, tidak termasuk kos pembedahan, scan dan lain-lain yang kos tersebut akan terus bertambah sehinggalah anak saya discaj.

"Dengan keadaan saya yang bekerja sendiri dan isteri yang tidak bekerja agak menyulitkan kami untuk menyediakan wang yang banyak secara mengejut.

"Tapi alhamdulillah, sokongan rakan taulan dan saudara mara sedikit sebanyak membantu meringankan beban, saya juga menerima jika ada pihak yang sudi membantu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Maybank Norrasid bernombor 151034760149.