X

Kindly register in order to view this article
!

Langkah tepat kerajaan martabat tulisan jawi

Langkah kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi tepat sebagai usaha memartabatkan kembali tulisan itu. Gambar kiri: Dr Asmadi
A
A

KUANTAN - Langkah kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tepat sebagai usaha memartabatkan kembali tulisan itu.

Musnyi Dewan Jawi Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan itu kerana ia akan memberikan ruang untuk tulisan jawi diletakkan pada martabatnya.

Menurut beliau, usaha untuk mengembalikan kegemilangan tulisan jawi sudah digerakkan termasuk di Pahang.

"Dengan sokongan kerajaan melalui keputusan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi penggunaan tulisan itu.

"Kita sedia maklum, penggunaan tulisan jawi di negeri ini semakin meluas atas inisiatif kerajaan Pahang.

"Ia bukan sahaja melalui papan tanda jalan atau papan tanda premis perniagaan malah gegantung untuk program rasmi terutama melibatkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kebanyakannya sudah menggunakan tulisan jawi," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dr Asmadi yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) berkata, perkembangan penggunaan tulisan jawi di Pahang amat membanggakan dan ia mampu disemarakkan lagi melalui keputusan terbaharu berkait tulisan itu kelmarin.

Menurut beliau, pelaksanaan hari Jumaat sebagai Hari Jawi boleh dimulakan melalui penggunaan tulisan jawi pada banting, gegantung atau bahan-bahan bercetak pada program-program yang berlangsung pada hari Jumaat.

"Usaha ini bagi menampakkan usaha memartabatkan tulisan itu secara lebih jelas sejajar dengan keputusan kerajaan.

"Pada masa sama, sesi kelas tulisan jawi perlu diwujudkan di sekolah untuk mendedahkan pelajar kepada tulisan itu dengan menambahkan masanya pada setiap hari Jumaat," kata beliau.

Beliau berkata, usaha menyemarakkan tulisan jawi sebagaimana dilakukan di Pahang wajar diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai usaha menjayakan Jumaat sebagai Hari Jawi.

Sebagai Musnyi Dewan Jawi Pahang, beliau akan teruskan usaha untuk memartabatkan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat khususnya kepada pelajar.

"Saya sendiri rasa seronok dan bersemangat apabila usaha memartabatkan tulisan ini mendapat sokongan kerajaan," kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus