Kekang kewujudan ‘kluster sekolah’

Cadangan penggiliran bilik darjah boleh dijadikan opsyen tambahan kepada pihak sekolah untuk menggunakan pengoperasian model penggiliran.
Cadangan penggiliran bilik darjah boleh dijadikan opsyen tambahan kepada pihak sekolah untuk menggunakan pengoperasian model penggiliran.
A
A
A

Setelah lebih tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19), sesi persekolahan telah mula dibuka secara beransur-ansur dimulai dengan kumpulan pelajar yang mengambil peperiksaan awam iaitu pelajar Tingkatan Enam atas dan Tingkatan Lima.

Bermula minggu hadapan iaitu pada 15 Julai sehingga 3 Ogos, lebih ramai pelajar akan menjejak kaki ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran bersemuka yang terhenti akibat PKP.

Langkah itu sememangnya wajar kerana pelajar akan mempunyai masa mencukupi untuk menelaah dan mengulang kaji pelajaran secara bersemuka bersama guru manakala guru pula mempunyai masa mencukupi untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran.

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah telah dan akan berlaku dalam keadaan yang selamat selain mengutamakan keselamatan serta kesihatan murid, guru dan warga sekolah semasa berada di sekolah.

Ini kerana langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang diamalkan adalah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan.

Garis panduan tersebut telah disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta membabitkan prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain sesi persekolahan perlu diteruskan.

Murid juga dinasihatkan mengamalkan penjagaan diri sepanjang berada di sekolah dengan antara lain memakai topeng muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengelakkan berkumpul beramai-ramai dengan mematuhi sepenuhnya jarakkan sosial bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19.

Malah, kontak rapat antara pelajar dan guru juga akan diminimumkan. Pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya dengan membuat segala persiapan rapi dalam mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah bagi melindungi murid, guru dan kakitangan sekolah daripada terdedah kepada jangkitan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Antara prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan ialah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

Optimis

Ibu bapa memang tidak dinafikan bimbang dengan tahap keselamatan anak mereka ketika di sekolah setelah sekian lama berada di rumah. Kegusaran utama yang timbul adalah jika pelajar tidak dapat mengamalkan kawalan kendiri masing-masing ketika berada di sekolah.

Ibu bapa perlu yakin melepaskan anak mereka ke sekolah. Menurut Pakar Pendidikan, Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed, sampai bila ibu bapa hendak ‘melarang’ anak mereka daripada pergi dan mengikuti sesi pembelajaran ke sekolah kerana jika ia berlarutan, dikhuatiri generasi muda bukan saja ketinggalan dari segi pelajaran tetapi turut mengalami kesan psikologi termasuk tekanan dan kemurungan apabila tidak dapat keluar berjumpa rakan dan sebagainya setelah ‘terkurung’ sekian lama di rumah.

Kita semua wajar optimis bahawa negara semakin menghampiri garis untuk bebas daripada pandemik Covid-19 dengan pematuhan SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.

Apa yang penting adalah semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa dan guru kena menyesuaikan diri dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan aspek kesihatan, pendidikan dan sosial tidak bertentangan dalam menghadapi cabaran normal baharu pasca Covid-19.

Jika semua pihak iaitu pelajar, ibu bapa dan guru menjalin kerjasama erat dalam mematuhi Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan, maka potensi wujudnya ‘kluster sekolah’ hanyalah satu kebimbangan yang tidak berasas!

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia