Lelaki nyaris maut kereta terbalik, terbakar

Anggota bomba memadamkan sebuah kereta yang terbalik dan terbakar di susur keluar Tol Pagoh, Johor hari ini.
Anggota bomba memadamkan sebuah kereta yang terbalik dan terbakar di susur keluar Tol Pagoh, Johor hari ini.
A
A
A

PAGOH - Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di susur keluar Tol Pagoh di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.25 pagi, Proton Satria Neo dipandu R Ganesh, 47, hilang kawalan sebelum terbalik lalu terbakar di bahu jalan.

Semasa keadaan cemas itu Ganesh sempat merangkak keluar dari keretanya yang baru terbakar sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Pemangku Ketua Balai BBP Pagoh, Penguasa Bomba Kanan I Hairulnizam Ridhuan berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mereka dibantu satu jentera Fire Rescue Team (FRT), satu jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sejurus tiba kereta berkenaan sudah 90 peratus terbakar dan pemandunya berjaya keluar sendiri dalam keadaan kereta sudah terbalik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran dan operasi tamat pada jam 7.51 pagi.

Dalam perkembangan lain, Hairulnizam berkata, tidak sampai satu jam selepas itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan sebuah kedai di Taman Pagoh Jaya terbakar pada jam 8.39 pagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 15 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan sebuah jentera FRT serta sebuah jentera LFRT dihantar ke lokasi.

"Kebakaran itu melibatkan sebuah kedai dua tingkat yang dijadikan stor. Kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan berkeluasan 20 kaki x 60 kaki musnah 40 peratus serta komponen server bitcoin yang disimpan dalam stor tersebut.

"Kita menggunakan dua aliran 200 kaki air tangki pam jentera. Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.21 pagi," katanya.

Katanya, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.