X

Kindly register in order to view this article
!

Beri kail atau jala?

A
A

Pepatah Cina ada menyebut, “Bila anda beri seseorang ikan, maka anda memberinya makan untuk satu hari tetapi bila anda ajar seseorang itu memancing, maka anda akan memberinya makan seumur hidup.” Maksudnya jika kita ingin menolong orang, jangan memberikan apa yang dia perlukan tapi berilah bantuan agar mereka mampu berdikari.

Namun, adakah cukup dengan hanya mengajar seseorang itu memancing? Adakah dengan menguasai cara memancing ikan, dilengkapi dengan batang kail serta umpan, seseorang itu pasti akan mendapat ikan? Jawapannya, belum tentu lagi.

Ini kerana tempat untuk memancing belum dipastikan lagi. Adakah memancing di kolam? Sungai? Tepi pantai? Sesuaikah jenis batang kail dan umpan untuk kawasan memancing, juga jenis ikan yang bakal dipancing?

Perkara ini mengingatkan saya tentang Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang giat membantu mereka yang dalam kesusahan sejak sembilan tahun lalu. Sebenarnya, NGO lain juga banyak menjalankan kerja-kerja kebajikan maka apa kelainan POKB jika dibandingkan dengan NGO lain?

Satu contoh yang saya boleh berikan adalah berkaitan seorang pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Kewartawanan Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Muhammad, 24, yang menghadapi dilema apabila terpaksa menangguhkan pengajiannya bagi menyara keluarga. Bapanya ketika itu terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat serangan angin ahmar.

Sebelum itu, bapanya berniaga di pasar malam manakala ibunya pula bekerja di kedai makan sebagai tukang masak. Ibunya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya. Sebagai anak sulung daripada enam beradik, dia rasa bertanggungjawab untuk bekerja demi menampung keperluan keluarga.

Alhamdulillah, atas keprihatinan pihak USM, dia tidak lagi perlu menangguhkan pengajiannya apabila mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak. Dengan sumbangan yang diterima, mereka telah berpindah dari rumah sewa yang kecil dengan hanya satu bilik di Tanjung Chat ke rumah sewa yang agak selesa dengan tiga bilik di Lundang di Kelantan.

Ketika inilah pihak POKB telah membantu dengan memberikan sumbangan bahan makanan, perabot, barang elektrik malah sumbangan cat juga agar rumah mereka lebih ceria. Bapanya yang menghadapi kesukaran untuk berdiri, apatah lagi untuk berjalan juga ditaja oleh POKB untuk menjalani perubatan alternatif akupunktur sebanyak lima sesi di samping sesi terapi fisio di hospital. Kini bapanya sudah boleh bangun dan berjalan sedikit dengan dipapah.

Bagi memastikan kebajikan mereka untuk jangka panjang, POKB juga menguruskan bantuan am persekolahan adik-adiknya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala ibunya pula diajar resipi istimewa nasi dagang Kelatan oleh seorang peguam daripada POKB agar mereka boleh berniaga sendiri.

Tidak cukup dengan hanya berkongsi resipi istimewa tersebut, POKB juga sering menempah nasi dagang daripada mereka setiap kali ada mesyuarat atau program agar perniagaan mereka bertambah maju.

Syabas kepada POKB yang bukan sahaja memberikan ikan, kemudian batang kail dan seterusnya jala kepada keluarga tersebut malah turut membeli ikan-ikan yang telah dijala itu. Bantuan secara holistik sebeginilah yang mampu mengubah nasib mereka yang dalam kesusahan.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!