'Tiada komen, tunggu presiden umum’

Boon Chye pada sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama anak-anak yatim, hari ini.
A
A

IPOH - Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye menafikan desas-desus yang mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri menggantikan Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Malah Timbalan Menteri Kesihatan itu juga turut menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelantikan berkenaan.

“Tiada komen. Kita tunggu presiden umumkan kerana pelantikan pengerusi negeri adalah kuasa presiden, jadi kita tunggu presiden untuk buat pengumuman.

“Saya boleh katakan setakat ini saya tidak menerima sebarang arahan atau maklumat berkenaan pelantikan Pengerusi PKR Perak,” katanya selepas hadir pada majlis makan tengah hari bersama anak-anak yatim di Tokong Tow Boo Keong, di sini hari ini.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang dilantik Anwar menjadi Pengerusi PKR Perak akan mendapat sokongan penuh daripada beliau untuk menerajui parti di peringkat negeri.

[ ARTIKEL BERKENAAN: Siapa Pengerusi PKR Perak yang baharu? ]

Terdahulu terdapat khabar angin mengatakan bahawa Boon Chye merupakan antara calon yang dilihat berkemungkinan memegang tampuk pimpinan PKR Perak selepas Pengerusi PKR Perak Muhammad mengambil keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan baru-baru ini.

Malah kekalahan Naib Pengerusi PKR Perak, Laksama (B) Mohamad Imran Abd Hamid di Cabang Lumut juga menguatkan lagi khabar angin bahawa Boon Chye adalah calon yang dilihat layak mengetuai PKR Perak.

Namun, selain Boon Chye terdapat dua lagi nama yang disebut-sebut sebagai calon Pengerusi PKR Perak antaranya Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari kerana beliau antara wakil rakyat PKR paling lama di Perak selain memegang jawatan sebagai Exco kerajaan negeri.

Satu lagi nama ialah Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga Pegawai Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia