Rumah kartun imbau nostalgia majalah lawak tempatan

Selain menjadi pusat pameran, rumah seakan muzium itu juga menjadi lokasi pertemuan lebih 100 kartunis dari seluruh negara untuk berkongsi idea, sekali gus memastikan industri tersebut kekal mampan. Foto: FB Rumah Kartun
Selain menjadi pusat pameran, rumah seakan muzium itu juga menjadi lokasi pertemuan lebih 100 kartunis dari seluruh negara untuk berkongsi idea, sekali gus memastikan industri tersebut kekal mampan. Foto: FB Rumah Kartun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siapa sangka majalah yang berharga RM1 pada suatu ketika dahulu kini nilainya mencecah RM9,000.

Itulah nilai majalah lawak tempatan, Gila-Gila edisi pertama terbitan 1 April 1978, yang kulit depannya menjadi antara 500 karya dipamerkan di Rumah Kartun dan Komik Malaysia (MCCH) di Taman Tasik Perdana di sini.

Majalah kartun yang pada suatu ketika dahulu cukup terkenal dan antara sumber hiburan pelbagai lapisan masyarakat kini menjadi barangan sejarah dengan nilai sentimental tersendiri.

Kurator MCCH, Mohd Safwan Mohd Ariffin berkata, pusat tersebut turut mempamerkan karya daripada naskhah lama majalah humor tempatan yang terkenal pada era 1980-an seperti Ujang, Geli Hati dan Batu Api, melibatkan lebih 50 kartunis.

Mohd Safwan berkata, kebanyakan koleksi langka itu diperoleh daripada pengumpul yang merupakan peminat tegar majalah terbabit.

"Syarikat penerbitan dan kartunis sendiri tidak mempunyai koleksi-koleksi ini, maklumlah dahulu penerbitan dibuat secara manual. Jadi ketika penubuhan rumah ini pada 2017, pengumpul ini memberi sumbangan yang besar untuk menjayakannya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pusat tersebut turut mempamerkan karya daripada naskhah lama majalah humor tempatan yang terkenal pada era 1980-an seperti Ujang, Geli Hati dan Batu Api, melibatkan lebih 50 kartunis. Foto: FB Rumah Kartun
Pusat tersebut turut mempamerkan karya daripada naskhah lama majalah humor tempatan yang terkenal pada era 1980-an seperti Ujang, Geli Hati dan Batu Api, melibatkan lebih 50 kartunis. Foto: FB Rumah Kartun

Mohd Safwan yang juga dikenali sebagai kartunis Pauh berkata, MCCH turut mempamerkan karya kartunis terkenal seperti Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat, Sulaiman Awang, Raja Hamzah dan Osman Baru.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, pengunjung juga berpeluang melihat karya kartun yang dihasilkan pada zaman penjajahan Jepun sekitar 1940-an yang pernah tersiar dalam akhbar dan majalah seperti Malai Sinpo, The Malay Mail, Syonan Times serta Semangat Asia.

"Kartun menjadi sebahagian daripada medium penyebaran propaganda sewaktu pendudukan Jepun selama tiga tahun lapan bulan di Malaya, dan ini menunjukkan bahawa kartun bukanlah berfungsi sebagai hiburan semata-mata," jelasnya.

Selain menjadi tempat pengumpulan karya-karya kartunis legenda, MCCH juga berperanan sebagai platform untuk kartunis berkarya dan menyampaikan mesej secara kreatif termasuk tentang isu semasa.

Pengurus Pameran MCCH Tazidi Yusof berkata, MCCH akan mempamerkan karya terbaharu mengikut tema berdasarkan isu semasa setiap tiga hingga empat bulan sekali.

"Misalnya sekarang kita mengadakan pameran kartun 'Kartunis vs Covid-19' yang berlangsung hingga 31 Ogos yang memaparkan lebih 50 karya, bukan sahaja oleh kartunis Malaysia tetapi juga dari Indonesia dan Singapura,” katanya menambah ini akan disusuli dengan pameran berkaitan kemerdekaan.

Menurut Tazidi, MCCH yang mengenakan bayaran masuk RM5 bukan sahaja dikunjungi peminat kartun dan komik tempatan tetapi juga pelancong luar negara.

"Ada pelancong luar negara yang juga kartunis menghabiskan masa berjam-jam untuk meneliti karya kartunis tempatan kita," katanya yang bercadang mengadakan kelas lukisan kartun dan komik untuk generasi muda di situ.

Menurut Tazidi, selain menjadi pusat pameran, rumah seakan muzium itu juga menjadi lokasi pertemuan lebih 100 kartunis dari seluruh negara untuk berkongsi idea, sekali gus memastikan industri tersebut kekal mampan.- Bernama