X

Kindly register in order to view this article
!

'KL Skyline view' hadiah buat Dr Noor Hisham

Asyreeq menunjukkan lukisan KL Skyline view untuk dihadiahkan kepada Dr Noor Hisham.
A
A

SEREMBAN - Sebuah lukisan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dihasilkan oleh mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai mendapat perhatian selepas pelukisnya berhasrat menghadiahkannya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Asyreeq Haziq Rohaizad, 23, berkata, pemberian itu bagi menghargai jasa dan keprihatinan wira negara dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Anak jati Seremban itu berkata, dia memilih pemandangan bandar raya Kuala Lumpur kerana ia mewakili Malaysia selain mercu tanda negara ini.

Antara hasil karya Asyreeq memukau pandangan.
Antara hasil karya Asyreeq memukau pandangan.

"Kebiasaannya ramai melukis wajah beliau (Dr Noor Hisham) sebagai penghargaan kepadanya, namun saya mencipta kelainan dengan menghasilkan pemandangan KL Skyline view.

"Ia sebagai satu simbolik iaitu kejayaan negara membendung wabak koronavirus (Covid-19) dan di sebalik kejayaan ini didukung oleh wira hebat seperti Dr Noor Hisham yang tanpa jemu memberi maklumat setiap hari sejak Covid-19 melanda negara," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Asyreeq memberitahu, lukisan tersebut mengambil masa lima hari untuk disiapkan dan ia sebagai tanda terima kasih kepada mereka.

"Saya ceburi bidang lukisan sejak 2014 meskipun tiada asas melukis, namun minat mendalam tidak menghalang untuk saya terus berkarya.

"Sehingga kini lebih 70 lukisan telah berjaya dihasilkan dan saya lebih meminati melukis bangunan.

"Saya pernah melukis pemandangan bandar raya Milan dan Tokyo menggunakan kertas A4 manakala kertas A3 bagi Kuala Lumpur," katanya.

Jelas anak kedua daripada empat beradik ini, melukis memerlukan kesabaran, ketelitian serta idea segar bagi menghasilkan sesuatu lukisan mahupun untuk menyiapkan sebarang hasil seni kerana setiap yang dilakar memainkan peranan penting.

Lukisan KL Skyline view hasil seni Asyreeq.
Lukisan KL Skyline view hasil seni Asyreeq.

"Bila melukis sesebuah bangunan, saya gemar melukis secara terperinci, jika bangunan itu ada ukiran saya akan lukis untuk kepuasan.

"Lebih 'details' lebih cantik dan nampak 'hidup' sesebuah lukisan itu," katanya.

Mengulas lanjut, bakal graduan ijazah sarjana muda dalam jurusan ukur bahan tahun ketiga di UTM itu tidak menyangka perkongsian lukisan KL Skyline view dimuat naik di platform Twitter tersebar hingga memperolehi lebih 3,000 ulang kongsi daripada netizen.

"Saya agak terkejut juga tapi niat saya untuk berterima kasih kepada beliau salah seorang individu penting mengekang wabak Covid-19.

"Alhamdulillah, Dr Noor Hisham juga sedia maklum ciapan ini dan berasa kagum. Saya berhasrat untuk bertemunya. Buat masa ini belum ada tarikh lagi namun Insya-ALLAH, jika diberi peluang," katanya.

Hello guys!Dengan rendah diri saya memerlukan RT,Like dan Mention anda semua supaya @DGHisham notice tweet saya ni. Saya nak jumpa dan bagi sendiri artwork saya ni dekat beliau. Make my dream come true please! pic.twitter.com/2dR4lmuO1O

— Asyreeq Art Studio (@asyrqartstudio) July 9, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus