PM hadir taklimat prapersidangan Dewan Rakyat

Muhyiddin meninggalkan Dewan Seri Endon Puspanitapuri selepas menghadiri Majlis Taklimat Pra Persidangan Parlimen hari ini. - foto Bernama
Muhyiddin meninggalkan Dewan Seri Endon Puspanitapuri selepas menghadiri Majlis Taklimat Pra Persidangan Parlimen hari ini. - foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadiri taklimat prapersidangan Dewan Rakyat melibatkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, hari ini.

Taklimat berkenaan diadakan secara tertutup selama kira-kira dua jam.

Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO ketika ditanya mengenai taklimat itu berkata, semua yang hadir bersetuju untuk mendokong semua usul dibawa oleh Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat esok.

"Esok kita tahu akan ada satu keputusan besar yang akan dilakukan iaitu menggantikan Speaker sedia ada dengan calon daripada pihak kerajaan. Jadi kami memberikan sokongan 100 peratus kepada usul kerajaan itu," katanya.

Ditanya mengenai berapa ramai yang hadir pada taklimat ini, Ahmad Zahid menjawab: "Saya tidak kira. Tetapi hampir seratus peratus (ahli Parlimen PN)".

Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau dipilih untuk mencadang usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya diberi masa yang panjang untuk berucap dan membahas. Jadi saya perlu buat persiapan untuk berucap sekitar dua jam itu dan ia adalah satu cabaran bagi saya dan saya akan buat yang terbaik," katanya.

Ditanya apa yang akan disentuh beliau dalam ucapan selama dua jam itu, beliau berkata, antaranya ialah usaha kerajaan menangani wabak koronavirus (Covid-19) dan isu ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, taklimat hari ini ialah proses biasa pada setiap sidang Parlimen.

"Majlis hari ini ialah melibatkan semua parti dalam PN dan senarai kehadiran ialah ahli Parlimen dan juga senator," katanya.

Sidang Dewan Rakyat dijadualkan bermula esok hingga 27 Ogos iaitu selama 25 hari manakala Dewan Negara pula akan bersidang dari 2 September hingga 23 September iaitu selama 11 hari. - Bernama