X

Kindly register in order to view this article
!

Kabel dasar laut ketiga Langkawi beroperasi bulan ini

Kabel dasar laut sepanjang 26.5km adalah kabel voltan tinggi ketiga dibangunkan TNB.
A
A

LANGKAWI - Kabel dasar laut ketiga Langkawi sepanjang 26.5 kilometer (km) yang akan beroperasi bermula bulan ini akan memperkukuhkan lagi penyaluran tenaga elektrik Grid Nasional ke Pulau Langkawi.

Kabel dasar laut itu adalah kabel voltan tinggi ketiga yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pulau peranginan itu bermula Julai 2018 dan kini sudah 98 peratus siap bagi menghubungkan pulau peranginan itu dengan Grid Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek itu yang berjalan mengikut jadual.

“Dengan siapnya projek ini, pengguna di Langkawi akan mendapat manfaat daripada kestabilan dan kecekapan bekalan tenaga yang dipertingkatkan.

“Projek ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha meluaskan capaian internet di Langkawi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di pulau tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amir Hamzah (tiga dari kanan) dan Ir Husaini (tiga dari kiri) meninjau perkembangan kerja pembinaan kabel dasar laut, baru-baru ini.
Amir Hamzah (tiga dari kanan) dan Ir Husaini (tiga dari kiri) meninjau perkembangan kerja pembinaan kabel dasar laut, baru-baru ini.

Terdahulu, beliau meninjau kerja-kerja berkaitan kabel melibatkan projek merentang kabel menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau membabitkan peruntukan sebanyak RM161 juta baru-baru ini.

Beliau berkata, projek merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, sistem elektrik di pulau peranginan itu kini dikawal sepenuhnya secara automasi.

"Apabila kabel dasar laut ini beroperasi kelak ia akan meningkatkan kapasiti penerimaan tenaga yang lebih berdaya harap," katanya.

Katanya, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi mula dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Permolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 409 pencawang di pulau peranginan itu pada awal tahun lepas.

Beliau berkata, automasi ini membantu mempercepatkan masa pemulihan bekalan elektrik sekiranya berlaku kerosakan sistem.

"Kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini yang pertama kali digunakan di Malaysia iaitu cross-linked polyethylene berbanding oil-filled cable yang digunakan sebelum ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf