Empat agenda utama dibawa dalam sidang Dewan Rakyat esok

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok pastinya akan menjadi tumpuan seluruh rakyat di negara ini.

Kekuatan dan keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan dibuktikan dalam persidangan itu nanti.

Ini kerana selepas lebih empat bulan Muhyiddin mengambil alih pentadbiran negara daripada Pakatan Harapan (PH) akhir Februari lalu, pembangkang terus mempersoal kemampuan beliau khususnya mengenai jumlah sokongan terhadapnya.

Memetik laporan Malaysiakini, empat agenda utama dijangka akan dibawa dalam sidang Dewan Rakyat esok.

Empat agenda atau isu utama itu adalah kedudukan sah Muhyiddin, Jawatankuasa Pilihan, Rang Undang-undang (RUU) Reformasi dan RUU koronavirus (Covid-19).

Menurut laporan itu, sebaik sesi soal jawab berakhir, aturan mesyuarat pertama dijangka berkenaan empat usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) untuk digantikan dengan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said (PN-Pengerang).

Tindakan itu dijangka akan menjawab persoalan sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Berdasarkan aturan tempat duduk sidang 18 Mei lalu serta peralihan sokongan sejak itu, ada tiga blok utama di Parlimen iaitu PN (113 kerusi), PH (91 kerusi) dan Bebas (18 kerusi).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun angka ini bukanlah satu-satunya penanda tahap sokongan Muhyiddin sehinggalah undian dibuat.

Yang di-Pertuan Agong kemudian boleh memilih untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan atau melantik seorang yang dirasakan mempunyai majoriti sokongan sebagai Perdana Menteri baharu.

Terdapat empat usul lagi berkaitan keabsahan Muhyiddin tetapi semuanya berada di kedudukan terakhir dalam senarai 30 usul.

Difahamkan, tiga lagi usul oleh Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) dan Shahidan Kassim (PN-Arau) - untuk undi percaya kepada Muhyiddin manakala satu lagi difailkan Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkenaan usul tidak percaya terhadapnya.

Bagaimanapun, secara asasnya empat usul tersebut dilihat tidak relevan memandangkan sokongan terhadap Muhyiddin boleh dibuktikan ketika pengundian usul penyingkiran speaker dilakukan nanti.

Agenda kedua pula adalah Jawatankuasa Pilihan di mana Muhyiddin dijangka akan membawa usul untuk pembentukan jawatankuasa tersebut dan selepas itu barulah jawatankuasa itu memutuskan komposisi dan bilangan pelbagai jawatankuasa Parlimen.

Anhli baharu yang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut), Datuk Seri Fadillah Yusof (PN-Petra Jaya), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

Selain itu, agenda utama ketiga adalah Muhyiddin dijangka membentang dua Rang Undang-undang (RUU) utama ketika pentadbiran PH untuk bacaan kedua.

Satu RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan had maksimum dua penggal bagi jawatan perdana menteri manakala satu lagi untuk pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Kedua-dua RUU ini akan meletakkan PH, Warisan dan ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin dalam keadaan yang canggung.

Agenda atau isu utama keempat adalah membabitkan RUU Covid-19 (Langkah Sementara).

Meskipun tiada kenyataan atau makluman jelas berhubung tujuan undang-undang itu diperkenalkan namun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi bayangan bahawa ia berkenaan pelepasan sementara bagi mereka yang terkesan dengan wabak tersebut.

Zafrul berkata, undang-undang ini akan sama dengan yang telah diluluskan di New Zealand dan Singapura.

RUU itu dijangka akan menghalang kebanjiran kes bankrap susulan terjejasnya perniagaan akibat Covid-19.