Cabaran bantu 20 peratus rakyat miskin

Mohd Redzuan (tiga dari kiri) bergambar bersama kenamaan dan peserta sesi Libat Urus kedua di Kedah semalam selepas sesi pertama diadakan di Sabah bulan lalu.
Mohd Redzuan (tiga dari kiri) bergambar bersama kenamaan dan peserta sesi Libat Urus kedua di Kedah semalam selepas sesi pertama diadakan di Sabah bulan lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan dijangka berdepan cabaran membantu 20 peratus rakyat dikategorikan di bawah paras kemiskinan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, keadaan lebih sukar berikutan negara masih dalam fasa pemulihan pandemik koronavirus (Covid-19), namun yakin agenda untuk melonjakkan ekonomi negara dan merapatkan jurang pendapatan rakyat dapat dicapai.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 mampu membantu mengurangkan jurang antara kaum, lapisan masyarakat, daerah dan negeri terutama golongan B40.

“Antara cabaran besar kerajaan ialah untuk memastikan golongan 20 peratus itu berjaya dikeluarkan daripada senarai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), namun menerusi program WKB 2030 yang melibatkan semua kementerian dengan perbelanjaan disalurkan untuk manfaat rakyat, kerajaan optimis ia boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Libat Urus bersama wakil kerajaan, persatuan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kerajaan akan pastikan setiap pelaksanaan dan perbelanjaan bawah program WKB 2030 memberi impak serta manfaat langsung kepada golongan B40.

"Disebabkan itu, satu unit baharu dikenali Sepadu ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek, program dan inisiatif WKB 2030 dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi B40,” katanya.

Katanya, jika inisiatif berkenaan tidak diperkenalkan, kemungkinan jurang berkenaan atau peratusan kelompok PGK akan terus meningkat.

“Kita yakin sasaran itu dapat dicapai menjelang 2030 walaupun berdepan kekangan Covid-19.

"Antara bidang ekonomi strategik yang menjadi tumpuan meliputi bioteknologi, ekonomi digital, industri pertanian, mobiliti lestari seperti teknologi hijau dan kereta mesra alam serta teknologi tinggi selain meningkatkan pelaburan dan pasaran usahawan dalam sektor strategik bernilai tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan menerusi laporannya mengumumkan PGK keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada 2019 berbanding RM980 pada 2016.

Teraju mencipta nilai pelaburan RM517.64 juta di Kedah sejak 2012 dengan menyalurkan bantuan bernilai RM136.7 juta kepada komuniti usahawan Bumiputera, memanfaatkan 472 penerima selain 3,096 peluang pekerjaan.