X

Kindly register in order to view this article
!

Siapa akan dipilih jadi Speaker Parlimen

A
A

KUALA LUMPUR - Kelancaran sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula hari ini akan bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen terhadap usul pengosongan jawatan Yang Dipertua dewan itu.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat, usul berkenaan yang akan dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di aturan kedua.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya usul supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya itu mendapat sokongan majoriti, sebarang aturan mesyuarat lain tidak boleh diteruskan sehingga Yang Dipertua baharu dilantik.

“Kalau menang (dipersetujui), maksudnya Dewan Rakyat itu kosong, tak ada speaker (Yang Dipertua), mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, bila tak ada speaker, tak boleh teruskan urusan sidang yang lain, kecuali hanya untuk memilih speaker,” katanya.

Selain usul berkenaan, menurut Aturan Mesyuarat, perdana menteri turut akan mengusulkan supaya bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff.

Muhyiddin juga akan mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya, sebelum membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Nga.

Sekiranya mendapat undian majoriti Ahli Parlimen, Azhar akan menjadi Speaker ke-10, manakala Azalina akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Dalam hal mencalonkan nama bagi jawatan Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat, ia boleh diusulkan mana-mana Ahli Parlimen, namun perlu dilakukan dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Dalam erti kata lain, Wan Junaidi berkata, cadangan nama ‘pada masa itu juga’ tidak boleh dilakukan mana-mana Ahli Parlimen untuk mengisi jawatan speaker mahupun timbalan speaker.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sekiranya terdapat lebih daripada satu calon, maka undian akan dilakukan secara berbelah bahagi atau bersurat sepertimana Peraturan Mesyuarat 4(3).

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat (6) (a), jika lebih daripada dua calon dicadangkan dan tidak ada calon mendapat undi lebih daripada jumlah undi didapati calon-calon lain dalam undi pertama, maka calon yang mendapat undian paling rendah perlu dikeluarkan daripada pilihan.

Undian perlu dijalankan sekali lagi dan dikeluarkan calon yang mendapat undian terendah seterusnya. Ia dijalankan berturut-turut sehingga hanya seorang calon mendapat undi lebih daripada calon atau jumlah undi calon-calon yang tinggal.

Wan Junaidi berkata, ketika kekosongan jawatan Yang Dipertua, segala urusan di dalam Dewan Rakyat akan dilaksanakan Setiausaha Dewan Rakyat, namun beliau boleh memohon seorang lagi Timbalan Yang Dipertua yang namanya tidak diusul untuk dikosongkan iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk membantu.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus