Lelaki mabuk cedera kereta rempuh pagar masjid

Kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan selepas merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit, Jalan Berapit.
Kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan selepas merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit, Jalan Berapit.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki cedera apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit, Jalan Berapit di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 23 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk muka selepas Proton Wira Aeroback dipandunya hilang kawalan.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

"Dalam kejadian jam 2.35 pagi tadi, mangsa memandu kereta dari arah Berapit telah hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pagar Masjid Jamek Tengah Berapit di sini.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu. Keadaan jalan rata dan kering ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Katanya, ujian saringan dadah lelaki tersebut negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: