Tiga sekawan didakwa edar, miliki dadah

Tiga sekawan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
Tiga sekawan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
A
A
A

HULU TERENGGANU- Seorang lelaki yang baru dua bulan keluar dari penjara kerana kesalahan dadah didakwa lagi di Mahkamah Majistret Kuala Berang, di sini hari ini bersama dua rakannya atas tuduhan mengedar dan memiliki dua jenis dadah iaitu heroin dan methamphetamine pada 5 Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Saiful Bahri Talib, 41, bersama dua rakannya, Mohammed Shukri Mohamad, 49, dan Mohd Afiq Hazli Mohamed Alias, 32, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 19.38 gram di sebuah bangsal di kawasan Kampung Alor Limbat, Marang jam 1 tengah hari pada 5 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki 50 biji pil dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 7.28 gram.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka turut didakwa memiliki tiga biji pil disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.76 gram.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 12(3) ADB 1952 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang.

Bagi pertuduhan pertama, tiada sebarang jaminan ditawarkan manakala mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM12,000 setiap seorang bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Tuan Rosnah Tuan Husain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.