Lebur RM56,450, ditipu rakan bisnes

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga atas talian berputih mata apabila wang pelaburan RM56,450 untuk peniagaan membekal kotak produk lesap dikebas kenalan bisnes.

Mangsa, wanita berusia 29 tahun syak dia ditipu selepas kenalan bisnesnya dikenali sebagai “Along’ menghilangkan diri sejak Jun tahun lalu dan gagal dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat bayaran RM61,450 melalui akaun syarikat milik suspek sebagai pelaburan untuk perniagaan membekal kotak kepada pelanggan dalam kalangan usahawan dan pengusaha produk.

Menurutnya, suspek menemui mangsa di sini pada 8 April tahun lalu untuk berbincang tentang perniagaan tersebut.

“Mangsa berminat dengan tawaran itu selepas suspek berjanji akan mencari dan membawa pelanggan.

“Hasil perbincangan, suspek bersetuju menerima bayaran 30 peratus hasil jualan daripada pelanggan yang dibawa,” katanya.

Beliau berkata, setelah persetujuan dicapai, mangsa membuat pembayaran pertama pada 10 April melalui akaun syarikat suspek sebanyak RM5,640 dan bakinya dijelaskan secara berperingkat bermula 11 April hingga 21 Mei tahun lalu.

“Selepas bayaran dibuat, suspek menghubungi mangsa melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada 8 Jun 2018 memaklumkan invois bayaran sudah dikeluarkan atas nama syarikat mangsa dan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa kemudiannya meminta suspek membuat bayaran kerana dia memerlukan wang dan lelaki itu memasukkan RM5,000 ke akaunnya.

“Selepas membuat bayaran itu, suspek menghilangkan diri dan gagal menghubungi.

“Mangsa yang mula syak ditipu membuat laporan polis di balai Polis Pekan, semalam.

Mohd Wazir berkata, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita dapati suspek memperdaya mangsa dengan tawaran perniagaan tidak wujud sehingga mendorong wanita itu membuat bayaran sebelum wang dilesapkan.

“Polis sedang mengenal pasti dan menjejaki suspek berdasarkan nombor akaun atas nama sebuah syarikat percetakkan yang digunakan dalam transaksi bayaran dibuat mangsa sebelum ini,” katanya.