266 kertas siasatan berita palsu Covid-19 dibuka

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 266 kertas siasatan membabitkan berita palsu Covid-19 setakat hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 172 masih dalam siasatan manakala 30 kes didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 lagi mengaku bersalah.

"Sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah dimaklumkan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita tidak benar berkaitan pandemik itu.

“PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya serta menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau laman web www.sebenarnya.my bagi menyemak kesahihan berita.

Sementara itu semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 29 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan daripada jumlah itu, seramai lapan individu direman manakala 21 lagi dikenakan kompaun.

Katanya, antara kesalahan ingkar PKP yang dilakukan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan sosial serta aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). - Bernama

Artikel Berkaitan: