X

Kindly register in order to view this article
!

Kang Seung-Jo sah tinggalkan TRW

Kang Seung-Jo meninggalkan pasukan Kelantan bagi menyertai kelab Gyeongnam (Korea Selatan).
A
A

KOTA BHARU - Pasukan The Red Warriors (TRW) terus dihantui berita kurang gembira apabila pemain importnya dari Korea Selatan, Kang Seung-Jo meninggalkan pasukan itu dengan alasan untuk berkhidmat di kelab negara asalnya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman mengesahkan pemain pertahanan berusia 34 tahun itu meninggalkan pasukan Kelantan bagi menyertai kelab Gyeongnam (Korea Selatan).

"Berkaitan kontrak pemain itu, kami telah melakukan penamatan bersama daripada kedua-dua pihak. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada pemain import itu dan terima kasih atas khidmat yang telah diberikan kepada pasukan sepanjang bersama pasukan.

"Pasukan Kelantan kehilangan pemain yang berkualiti untuk membantu pasukan berdepan baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bersambung 15 Ogos depan selepas hampir lima bulan ditangguhkan akibat wabak Covid-19," katanya.

Aksi Kang Seung-Jo bersama Kelantan terhad musim ini apabila Liga-M terpaksa dihentikan buat sementara waktu sejak Mac lalu ekoran penularan Covid-19.

Tiga lagi pemain import yang masih bersama Kelantan musim ini iaitu Felix Chidi Odili dari Nigeria dan Christopher Jackson (Liberia) yang kedua-duanya beraksi sebagai penyerang dan Masaki Watanabe (Jepun) di posisi pertahanan.

Husin berkata, ketika ini semua pemain pasukan Kelantan sedang melakukan saringan Covid-19 sebelum mendapat lampu hijau untuk kembali menjalani latihan bersama pasukan sekiranya keputusan itu negatif.

"Insya-ALLAH, pasukan akan menjalani latihan secara rasmi bersama dalam tempoh terdekat untuk mempersiapkan pasukan menghadapi baki perlawanan (liga) yang bakal disambung,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf