X

Kindly register in order to view this article
!

Geng samseng jalanan kena cekup di BKE

Polis sedang memeriksa dokumen salah seorang daripada 35 samseng jalanan yang ditahan di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), pagi tadi.
A
A

KULIM - Sekumpulan samseng jalanan dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram ditahan dalam Op Rempit di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, pihaknya melakukan operasi bermula jam 2 hingga 4 pagi selepas menerima aduan penduduk.

Katanya, penduduk Taman Saujana Indah, di sini membuat aduan bahawa lebuh raya bersebelahan taman perumahan terbabit sering dijadikan tempat berlumba.

"Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan anggota balai polis lain membuat pemantauan sebelum menahan 35 mat rempit.

"Kita turut mengeluarkan 125 saman atas pelbagai kesalahan dan empat motosikal disita dengan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan pertama, individu itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun serta didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

"Bagi sabitan kali kedua dan seterusnya, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM20,000," katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan meneruskan operasi secara berkala dari masa ke semasa untuk memastikan aktiviti ini dapat diatasi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!