Selangor perlu diselamatkan daripada agenda DAP

DAP Selangor - Foto Sumber Internet
DAP Selangor - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor perlu diselamatkan daripada terus ditelan agenda politik dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang memberi ancaman kepada rakyat negeri ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Selangor dilihat terus menjadi pengkalan buat DAP selepas Pulau Pinang dan disebabkan itu masyarakat Melayu di sini perlu menyedari ancaman dibawa parti berkenaan.

Beliau berkata, bagi menyekat kemaraan DAP dan PH, orang Melayu perlu bersatu-padu dalam membentuk muafakat politik yang kukuh dalam menghadapi persaingan satu lawan satu selepas ini.

Roslan Shahir Mohd Shahir
Roslan Shahir Mohd Shahir

"Kini melalui Muafakat Nasional iaitu kerjasama politik Pas dan UMNO di Selangor, usaha sedang dilakukan untuk merampas kembali tampuk kuasa dari tangan DAP-PH yang rasis dan ekstrim.

"Sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), PH dijangka boleh dicungkil keluar dari Selangor sekali gus menghapuskan penguasaan DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, Selangor terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama malah negeri ini sewajarnya terus membangun tanpa sebarang unsur pecah-belah melibatkan pemimpin yang rasis.

Beliau berkata, rakyat Selangor perlu bangkit menyahut seruan politik baharu yang dibawa oleh Muafakat Nasional dan PN dengan harapan tiada lagi pengaruh DAP bertapak dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor bermula 2008 dan sejak itu mereka terus menyusup agenda perjuangan partinya dalam dasar dan program kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan politiknya di negeri ini.

"Segala tindak-tanduk DAP sudah pasti mengancam kedudukan dan hak orang Melayu bumiputera sebagaimana dirasai ketika mereka dominan sewaktu memegang tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu," katanya.