Buruh didakwa edar dadah

Tertuduh, Mohd Yusof didakwa kerana mengedar dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
Tertuduh, Mohd Yusof didakwa kerana mengedar dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin pada 1 Julai lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Mohd Yusof Zainuddin, 42, di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin berat kasar (21.96 gram) di sebuah bangsal belakang rumah di Kampung Matang, Kuala Berang di sini lebih kurang jam 6.35 petang pada 1 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Tuan Rosnah Tuan Husain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 'Mat lalok' sempat mencampak satu bungkusan dipercayai dadah ketika diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sebuah bangsal di Kampung Matang, Kuala Berang di sini pada petang Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu dipercayai dalam keadaan lalok ditahan kira-kira jam 6.35 petang di sebuah bangsal yang menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.