Pembinaan RTS bermula November depan

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerja-kerja tapak bagi pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura dijangka bermula pada November depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perjanjian RTS terbabit akan dimuktamadkan oleh Malaysia dan Singapura sebelum akhir Julai ini.

Beliau berkata, mengikut perancangan awal depoh penyelenggaraan kereta api bagi RTS terbabit akan dibina di Mandai, Singapura namun dipindahkan ke Wadihana, Johor Bahru.

"Saya dimaklumkan perkara yang dikehendaki kedua-dua negara berkaitan RTS telah pun dipenuhi. Pembinaan RTS akan merancakkan lagi ekonomi di negeri Johor dengan menarik lebih ramai pelabur.

ARTIKEL BERKAITAN - Baki dua isu RTS dijangka selesai minggu depan: Azmin

"Pertukaran kawasan depoh penyelenggaraan kereta api dari Mandai, Singapura kepada Wadihana, Johor Bahru akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 penduduk tempatan. Kawasan seluas kira- kira 2.5 hektar telah dikenal pasti bagi pembinaan depoh terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Projek Sungai Pulai di Gelang Patah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation, Datuk Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrasuktur negeri, Mohd Solihan Badri.

Projek RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura bertujuan mengatasi kesesakan lalu lintas antara kedua-dua negara.

Oktober tahun lalu, Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion dan dijangka siap pada Disember 2024.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni berharap pembukaan pintu sempadan darat Malaysia-Singapura dapat dilakukan selepas republik itu selesai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) 2020 kelmarin.

"Perbincangan pimpinan tertinggi kedua-dua negara perlu dilakukan bagi mencapai kata sepakat memandangkan pintu sempadan darat Malaysia- Singapura penting kepada pekerja dari Johor yang berulang alik ke republik itu untuk bekerja setiap hari.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri tidak pernah memandang ringan wabak koronovirus (Covid- 19) walaupun usaha-usaha sedang dilakukan dalam meningkatkan sektor ekonomi di negeri ini termasuk pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura.