Dua maut Nissan Murano terbalik di LPT1

Anggota bomba melakukan kerja menyelamat ke atas mangsa kemalangan maut di Kilometer 196.5 LPT1, semalam. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan kerja menyelamat ke atas mangsa kemalangan maut di Kilometer 196.5 LPT1, semalam. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

KUANTAN - Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 196.5 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.05 petang itu, pemandu kenderaan, Ahmad Roshidi Halim, 51, dan penumpang belakang, Rajhan Ibrahim, 56, masing-masing beralamat di Alor Setar, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, penumpang hadapan, Mohd Wari Mat Zaki, 51, hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di laluan arah barat ketika SUV jenis Nissan Murano dinaiki tiga mangsa itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu SUV itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui laluan agak berselekoh, lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik ke tengah laluan (arah barat).

"Kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan kemungkinan permukaan jalan agak licin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kamarulzaman berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dikeluarkan dari kenderaan itu dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kemalangan untuk bantuan menyelamat.