Anwar, Azmin dicadang sertai Jawatankuasa Pemilih

Anwar Ibrahim (kiri) dan Mohammed Azmin
Anwar Ibrahim (kiri) dan Mohammed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Dewan Rakyat bermula esok akan menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk mencadangkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi ahli baharu Jawatankuasa Pemilih.

Mereka dijangka menggantikan Muhyiddin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan), Mohamad Sabu (Kota Raja), Darell Leiking (Penampang) dan Tan Kok Wai (Cheras).

Turut akan dicadangkan menganggotai Jawatankuasa Pemilih itu ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan), Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).

Muhyiddin juga akan mengusulkan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada persidangan Dewan Rakyat esok.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul (AUM DR 13/7/2020) yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengusulkan perkara tersebut selepas meminta Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.

Usul yang tersenarai dalam giliran dua dan tiga itu turut memasukkan usul supaya Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perdana Menteri juga akan mengusulkan nama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai pengganti Kor Ming.

Semua usul tersebut dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 4(1) dan 6(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan: