Seorang maut, dua cedera nahas tiga motosikal

Keadaan salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 192.4, LPT 1 malam tadi. - Foto ihsan bomba
Keadaan salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 192.4, LPT 1 malam tadi. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUANTAN - Seorang penunggang maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di Kilometer 192.4, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Irfan Syakir Mohd Idris, 22, dari Taman Permatang Badak Damai di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, dua lagi penunggang, Muhamad Alif Afifi Abdullah, 23, cedera parah manakala Muhammad Hafiz Hasibullah, 22, mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga penunggang yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dalam perjalanan dari arah Sri Jaya, Maran menghala ke Kuantan.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Muhammad Irfan Syakir dan Muhamad Alif Afifi dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terbabas dan terjatuh.

"Sementara itu, Muhammad Hafiz dari arah belakang pula gagal mengelak lalu terlanggar salah sebuah motosikal yang terjatuh di hadapannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: