Berseronok sambil uji ketahanan fizikal di Taman Tema Escape

Zon Water Play kini mempunyai gelongsor air terpanjang di dunia.
Zon Water Play kini mempunyai gelongsor air terpanjang di dunia.
A
A
A

TELUK BAHANG - Perkembangan positif negara dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini pasti memberi kelegaan buat semua.

Selepas lebih tiga bulan terkurung di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini semakin hari kita diberi kebebasan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa walaupun perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu untuk kepentingan bersama.

Memang saat ini yang dinantikan penulis kerana perancangan untuk beriadah dan bersantai bersama rakan-rakan di Taman Tema Escape sudah sekian lama tertangguh.

Peluang cuti hujung minggu baru-baru ini dimanfaatkan penulis bersama rakan-rakan bagi melepaskan rindu melakukan aktiviti rekreasi bersama yang sebelum ini tergendala kerana akur dengan larangan yang dikuatkuasakan.< /p>

Antara cabaran yang menguji kekuatan mental dan fizikal pengunjung.
Antara cabaran yang menguji kekuatan mental dan fizikal pengunjung.

Sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran beroperasi semula semua taman tema air di negara ini bermula 1 Julai lalu, ia membuatkan penulis dan rakan-rakan tidak sabar untuk merasakan sendiri pengalaman beriadah di Taman Tema Escape yang dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri dan jauh berbeza dengan taman tema lain yang terdapat di negara ini.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan jauh sebelum sampai ke destinasi yang terletak di Teluk Bahang, namun ia berbaloi sebaik kaki melangkah masuk ke kawasan taman tema yang mengekalkan keindahan alam semula jadi.

Selepas mendaftar masuk, kami bersama beberapa pengunjung diberi penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam kawasan taman tema berkenaan termasuk penjarakan sosial yang perlu diamalkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Cecair pembasmi kuman disediakan di setiap kawasan permainan.
Cecair pembasmi kuman disediakan di setiap kawasan permainan.

Selain dibekalkan sarung tangan untuk digunakan semasa melakukan aktiviti, penulis dapati setiap lokasi tumpuan di dalam taman tema ini diletakkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pengunjung.

Boleh dikatakan pengurusan Taman Tema Escape sangat mementingkan SOP walaupun lokasinya luas dan mempunyai pelbagai zon permainan.

Perasaan teruja tidak dapat digambarkan apabila kami dapat memulakan aktiviti seawal 10 pagi di zon Adventure Play yang menempatkan pelbagai permainan lasak dan menguji ketahanan fizikal.

Kami bertuah kerana berpeluang mencuba setiap permainan yang ada tanpa perlu berbaris dan boleh memilih apa sahaja aktiviti yang ingin dilakukan terlebih dahulu tanpa perlu berbaris disebabkan kehadiran pengunjung pada masa itu tidak terlalu ramai seperti biasa.

Salah satu tarikan di zon Water Play.
Salah satu tarikan di zon Water Play.

Apa yang menarik, banyak aktiviti yang disediakan berkonsepkan cabaran selain terdapat juga permainan tradisi bagi mengimbau keseronokan zaman kanak-kanak.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak mereka boleh cuba permainan seperti Monkey Business, Coco Limb, Gecko Tower, Atan's Leap, Jungle Swinger, Lying Lemur dan banyak lagi.

Semua tarikan di taman ini sesuai untuk pengunjung semua peringkat umur, namun bagi sesetengah permainan perlu dipantau dan diawasi oleh petugas Escape untuk memastikan keselamatan mereka.

Paling menyeronokkan bagi penulis apabila dapat melakukan aktiviti Flying Lemur sambil menikmati keseronokan meluncur merentasi pokok tinggi sambil menikmati pemandangan hijau sekitar taman tema ini.

Tempoh masa operasi taman tema ini bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang sebenarnya tidak cukup bagi kami menghabiskan semua permainan dan tarikan yang terdapat di zon Adventure Play.

Pengunung dari Kuala Lumpur, Fatin Najwa mencuba salah satu permainan yang disediakan di zon Adventure Play.
Pengunung dari Kuala Lumpur, Fatin Najwa mencuba salah satu permainan yang disediakan di zon Adventure Play.

Penulis menyarankan mereka yang bercadang untuk datang ke sini agar tiba awal dan manfaatkan separuh hari di zon permainan dalam kawasan hutan rimba ini sebelum meneruskan keseronokan di zon Water Play.

Di zon basah ini juga tidak kurang menarik aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung termasuk merasai sendiri pengalaman menyelusuri gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.140km yang diiktiraf Guinness World Record (GWR).

Antara tarikan lain adalah water slide, lazy river, speed racer serta waveball di Water Play.

Walaupun penat seharian menghabiskan masa beriadah di taman tema itu, namun ia memberi satu kepuasan dan pengalaman yang sukar digambarkan.

Penulis teruja mencuba aktiviti yang disediakan di Taman Tema Escape.
Penulis teruja mencuba aktiviti yang disediakan di Taman Tema Escape.

Penulis kagum dengan produk pelancongan bertaraf antarabangsa yang menjadi salah tarikan di negeri ini apatah lagi ia dibangunkan oleh anak tempatan kelahiran Pulau Pinang sendiri.

Beberapa pengunjung yang ditemui melahirkan rasa teruja mereka selepas puas menikmati segala keseronokan yang disediakan di sini.

Fatin Najwa Ab Malik dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, keputusannya bersama ahli keluarga bercuti di Pulau Pinang adalah pilihan yang tepat selain berpeluang merasakan sendiri pengalaman luar biasa sepanjang bermain di taman tema ini yang sebelum ini hanya dapat dilihat melalui media sosial sahaja.

"Memang berbaloi perjalanan jauh kami ke sini, apa yang paling mengharukan layanan yang diberikan oleh semua petugas di sini sangat mesra dan terbaik.

"Kalau ada kesempatan lagi, saya akan kembali bersama rakan-rakan untuk beriadah di sini nanti,"katanya yang menggemari aktiviti aerobat dan flying fox.

Turut berkongsi pengalaman, Siti Nur Syafiqah Badrul Hisham juga dari Kuala Lumpur yang sangat berpuas hati dengan semua kemudahan dan tarikan disediakan malah dia merasakan seperti berada dalam suasana yang sangat mendamaikan sepanjang berada di taman tema ini.

"Lokasi taman ini yang jauh dari kesibukan kota dan tersergam dalam kehijauan hutan rimba membuatkan saya rasa tenang sepanjang menjalankan aktiviti di sini.

"Walaupun banyak aktiviti disediakan dilihat mencabar, namun aspek keselamatan selalu mereka titik beratkan dan kami diberi panduan yang jelas sebelum melakukan sesuatu cabaran," katanya.

INFO

Waktu operasi: 10 pagi hingga 6 petang setiap hari

Harga tiket:

• Dewasa (warganegara): RM167, bukan warganegara: RM980

• Warga emas (61 tahun ke atas):RM97, bukan warganegara: RM600

• Kanak-kanak (warganegara):RM97, bukan warganegara:RM600

• Kanak-kanak bawah tiga tahun percuma.

Macam mana nak ke sana dari pusat bandar? Pengunjung mempunyai dua pilihan sama ada mahu ikut laluan Jalan Batu Feringghi dan Balik Pulau untuk sampai ke taman tema ini. Lebih mudah pengunjung boleh menggunakan Google Maps atau Waze.