Pejabat Haniza dikunci ikut SOP

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan merantai dan mengunci pejabat bekas Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha adalah prosedur biasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, mana-mana pihak tidak boleh mengeluarkan atau mengambil barangan pada hari Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata, tindakan bagi memindah atau mengambil barangan hanya dibenarkan pada hari bekerja biasa dan waktu pejabat bagi menggelakkan sebarang kemungkinan lain berlaku.

"Prosedurnya memang begitu sejak dulu, kalau nak pindah kenalah pada waktu pejabat supaya ada pemantauan, dapat ditinjau penguat kuasa dan sebagainya kerana itu memang SOP.

"Jadi pada saya tak ada isu berbangkit dan kalau mereka nak datang ambil, boleh datang pada waktu bekerja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Haniza yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya meluahkan rasa terkejut apabila dimaklumkan pejabatnya sudah dipasang rantai dan mangga pintu ketika pegawai beliau tiba untuk mengambil beberapa barang.

Pejabat Haniza di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikatakan dipasang mangga selepas beliau diberikan notis pengosongan jawatan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini.

Mengulas sama ada Amirudin ada mengeluarkan arahan mengenai tindakan mengunci pejabat Haniza itu, Borhan berkata, langkah berkenaan tidak dipengaruhi mana-mana pihak memandangkan SOP itu sememangnya sudah lama digunapakai dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan arahan menteri besar atau sebagainya. Ini memang SOP dari dulu. Kalau nak pindah atau ambil barang, Sabtu dan Ahad memang tak boleh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya terkejut pejabat dikunci, dimangga'