X

Kindly register in order to view this article
!

Bayaran wang kemenangan LTdL 2020 selesai

Human Voyage (M) Sdn Bhd mengesahkan sudah melunaskan pembayaran wang kemenangan kepada pelumba dan pasukan bertanding pada awal bulan ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjur jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL2020), Human Voyage (M) Sdn Bhd mengesahkan sudah melunaskan pembayaran wang kemenangan kepada pelumba dan pasukan bertanding, pada awal bulan ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2020, Shahaizereen A Hamid berkata, pembayaran wang hadiah kemenangan itu berjumlah keseluruhan RM823,450.

“Transaksi pembayaran kepada pasukan dan pelumba telah dibuat dan selesai pada awal bulan ini. Proses pembayaran dibuat melalui Cycling Prize Management System (UCPMS) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembayaran akhir hadiah kemenangan itu sepatutnya dilakukan menerusi sistem UCI tersebut dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan, namun tertunda susulan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Pada saingan LTdL 2020 yang berlangsung Februari lepas, pasukan Sapura merupakan penerima hadiah wang kemenangan terbesar iaitu sebanyak RM141,150, disusuli pasukan Terengganu dengan RM114,200 dan Vino Astana Motors RM106,100.

Perlumbaan edisi ke-25 itu adalah berstatus Pro Series di bawah peraturan baharu UCI.

Shahaizereen berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk berbasikal negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), telahpun dimaklumkan berhubung pembayaran wang kemenangan yang dilakukan itu.

"Isu kelewatan pembayaran disebabkan kekangan yang terpaksa dihadapi ketika PKP telahpun diselesaikan selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini.

"Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih terutama kepada menteri (belia dan sukan) atas keprihatinan yang diberikan, sekali gus membantu kami menyelesaikan isu ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang memahami, bersabar dan memberi kerjasama yang baik berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata, Human Voyage bersedia menganjurkan perlumbaan edisi ke-26 meskipun terdapat ketidakpastian susulan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan bagi acara sukan antarabangsa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus