Mogok guru di LA bakal ditamatkan

Guru di Los Angeles menuntut pengambilan lebih ramai kakitangan sekolah dan kenaikan gaji. - Foto CNN
Guru di Los Angeles menuntut pengambilan lebih ramai kakitangan sekolah dan kenaikan gaji. - Foto CNN
A
A
A

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Selepas enam hari, mogok yang dilancarkan sekumpulan besar guru di Los Angeles bakal ditamatkan.

Pemimpin kesatuan, United Teachers Los Angeles (UTLA) dan Los Angeles Unified School District (LAUSD) memeterai perjanjian tentatif bagi mengakhiri tunjuk perasaan yang menjejaskan 600,000 pelajar sekolah awam.

Perjanjian terbabit dipersetujui selepas sesi rundingan selama 21 jam yang berakhir semalam.

"Ia merupakan perjanjian bersejarah, di mana guru akan dibenarkan kembali mengajar, had jumlah pelajar dalam kelas dikecilkan dan bantuan sewajarnya dapat diberikan bagi menyokong para guru," kata Datuk Bandar Eric Garcetti yang turut terlibat dalam sesi rundingan.

Sementara itu, Superintenden LAUSD, Austin Beutner berkata, antara isi perjanjian termasuk kenaikan enam peratus gaji guru dan penurunan secara berperingkat jumlah kelas dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perjanjian turut menyatakan pengambilan lebih ramai kakitangan sekolah termasuk jururawat, pustakawan dan kaunselor serta memberi sokongan kepada pelajar imigran termasuk bantuan perundangan.

Dalam pada itu Presiden UTLA, Alex Caputo-Pearl berkata walaupun ahli kesatuan masih perlu mengundi perjanjian terbabit, namun beliau berharap ia akan diluluskan.

Caputo-Pearl turut memuji lebih 30,000 guru dan kakitangan yang mengadakan bantahan dalam hujan bagi menuntut hak dan keadilan. - CNN

Artikel Berkaitan: