Penternak jamin harga ayam tidak cecah RM9 sekilo

Rosol (tengah), Norhizam (kanan) dan Ismail (kiri) meninjau harga ayam ketika Program Walkabout Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang hari ini.
Rosol (tengah), Norhizam (kanan) dan Ismail (kiri) meninjau harga ayam ketika Program Walkabout Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang hari ini.
A
A
A

MELAKA - Penternak ayam di negara ini memberi jaminan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menetapkan harga ayam tidak melebihi RM9 sekilogram menjelang Ogos depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kata sepakat penurunan paras harga ayam dicapai setelah perbincangan di antara pihak kementerian dengan wakil penternak ayam diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, jaminan itu sekali gus memberi gambaran bahawa isu harga ayam yang sering timbul menjelang musim perayaan tidak akan berlaku pada Hari Raya Aidiladha yang akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, setakat awal Julai ini, KPDNHEP di seluruh negara mendapati harga ayam mulai turun sehingga RM8.20 sekilogram.

"Seperti di Terengganu harga ayam pernah meningkat hingga mencecah RM9.60 sekilogram dan menjelang Ogos harga akan turun kerana anak ayam dah mula boleh dijual sekitar dalam tempoh 35 hari dan bukannya 45 hari.

"Sekarang harga ayam sekitar RM8 lebih dan kita dah nampak ada kebenaran apa yang dijanjikan oleh peniaga ayam dan dijangka harga ayam akan turun lagi walaupun menjelang musim perayaan," katanya.

Rasol berkata demikian ketika program Walkabout Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Othman; Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan turut memberi jaminan barangan mentah mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha akhir Julai ini, namun dalam masa sama menasihatkan pengguna mengambil langkah berjaga-jaga dalam berbelanja.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, pihaknya juga sedang mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu harga durian melampau termasuk mendapatkan pandangan pakar daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Menurutnya, situasi menang-menang di antara peniaga dan pengguna akan menjadi keutamaan dalam mencari kaedah terbaik bagi penyelesaian isu tersebut.

"Kalau harga melampau memang kementerian akan ambil tindakan, jadi kita cari satu pendekatan untuk memastikan rakyat tidak teraniaya dan peniaga tidak rugi," katanya.