X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu Pasir Gudang sokong Muhyiddin sebagai PM

Mohd Khairulfadhlan (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Pasir Gudang selepas mesyuarat di Banafee Sri Alam, Pasir Gudang malam tadi.
A
A

PASIR GUDANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang sebulat suara menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selain Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu.

Keputusan tersebut disepakati dalam satu mesyuarat dipengerusikan Ketua Bersatu bahagian itu, Ir Mohd Khairulfadhlan Mohd Dzurri di Banafee Sri Alam di sini malam tadi yang dihadiri 16 ahli jawatankuasanya.

Menurut Mohd Khairulfadhlan, pihaknya pada masa sama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

"Kami turut menerima tafsiran Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berhubung terberhentinya keahlian Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Mazlee Malik dan Datuk Amirudin Hamzah.

"Ini kerana dilakukan menurut peruntukan fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berharap, Bersatu Bahagian Pasir Gudang serta semua ahli parti dapat terus kekal setia dan dapat terus memperkukuhkan parti.

Mohd Khairulfadhlan berkata, pihaknya juga mengambil maklum isu-isu berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) yang menjadi beban rakyat.

Justeru katanya, Bersatu bahagian itu mengambil langkah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Bersatu bahagian berkenaan, Mohamad Farid Abdul Razak.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan mengumpulkan maklumat-maklumat berkenaan permasalahan rakyat untuk diangkat kepada pihak yang berwajib.

"Sehubungan itu kami menjemput seluruh rakyat Pasir Gudang tanpa mengira parti untuk bersatu padu, bersatu hati, bekerjasama dan melapor masalah kesan daripada Covid-19," katanya.

Katanya, masalah nelayan di kampung Kuala Masai juga akan diselesaikan tidak lama lagi selepas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Seri Ronald Kiandee bersetuju memberi peruntukan membina jeti baharu melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus